GBS Semasa Hamil Apa Kata Pakar Mengenainya | PENGEDAR VIVIX SHAKLEE KUALA LUMPUR

14 April 2017

// // Leave a Comment

GBS Semasa Hamil Apa Kata Pakar Mengenainya

Assalamualaikum semua, pagi ni akak bace sharing dari seorang doktor pakar mengenai GBS atau Group B Streptococcus. GBS terdapat dalam usus atau dubur kita.

Ianya tidak membahayakan kita tetapi jika kita mengandung dan kuman ini menjangkiti anak kita maka terdapat risiko kematian bagi bayi kita. So jangan ambil remeh mengenai GBS. Ok jom kita baca sharing dari Profesor Imelda Balchin

Kuman bakteria GBS.
Ibu-ibu kata mereka keliru.

Ramai ibu-ibu kita nak memahami apakah sebabnya antibiotik itu kawan kita di bilik bersalin.

Saya akan cuba menjawab dari pengalaman saya sebagai seorang pakar dan sebagai seorang ibu yang mengalami penyakit GBS.

Sewaktu saya di London 13 tahun dulu, sebelum kelahiran anak saya yang sulung, air ketuban saya pecah. Saya menunggu bersalin secara normal, tapi selepas 12 jam, saya demam dan muntah-muntah. Kemudian denyutan jantung anak di dalam kandungan melambung tinggi hingga ke 180 dan jatuh pula ke paras yang rendah bila rahim saya mengeras, seolah-olah dia lemas.

Terpaksa saya menjalani pembedahan Caesar untuk menyelamatkan anak saya, dan anak saya memerlukan antibiotik dengan serta-merta. Didapati kuman GBS sudah merebak ke dalam darah saya menyebabkan saya demam. 

Saya terdengar pakar perunding berbincang dengan doktor lain mengenai saya. Dia kata, "This is a miracle, usually when I see Maternal GBS septicaemia, the baby has died". Pakar perunding orang puteh tu tak sedar yang saya berdiri di belakang dia dan terdengar perkataan pedihnya. 

Saya terjemahkan apa dia kata "Ini satu keajaiban, selalunya bila saya jumpa ibu dijangkiti kuman GBS di dalam darahnya, bayinya sudah pun meninggal dunia".

Saya menangis tak berhenti hari tu dan terus dakap anak saya tak lepas. 5 hari di wad anak saya diberi antibiotik dan Alhamdulillah sekarang anak saya sudah 13 tahun, sihat dan cergas.

Nak menjawab segala soalan-soalan ibu tentang GBS ni ialah satu cabaran juga bagi doktor kita.

Ini lah antara soalan yang paling susah sekali nak score markah penuh di dalam peperiksaan di peringkat kepakaran /specialist. Untuk lulus peperiksaan kepakaran ini memerlukan lebih dari 7 tahun pengalaman selepas ijazah perubatan, dan banyak membaca dengan mendalam mengenai kajian-kajian perubatan. Bila keluar soalan GBS, ni berpeluh-peluh calon-calon peperiksaan kita.

Pendapat pakar di Amerika dan pendapat pakar di Eropah pun bercanggah mengenainya. Pelajar perubatan yang mengekori saya di bilik bersalin ternganga langsung bila saya uji mereka pasal GBS, sebab masih banyak lagi ilmu perubatan yang mereka kena belajar.

Jadi tak hairan lah ramai ibu hamil runsing dan keliru mengenainya. Dan tak hairan lah ibu-ibu bertambah keliru lagi bila bertanya kepada yang bukan arif mengenainya.

Ini lah salah satu kuman yang sentiasa ada di dalam usus dan dubur kita, tanpa memberi kita sebarang masalah. Biarkanlah sahaja. Selagi dia tak kacau kita, kita tak payah kacau dia. Ia boleh merayau masuk ke dalam faraj wanita dan berumah di situ di dalam 1/4 (25%) wanita, tanpa memberi sebarang masalah. 

Biarkan sahaja, tak payah lah ambil antibiotik serta-merta bila terjumpa. Kalau ambil antibiotik pun, ia hilang sementara sahaja kemudian datang merayau balik tanpa kesedaran kita.

Bagi ibu yang hamil yang ada kuman GBS ni, tidak ada masalah kepada janin selagi kantungnya utuh dan tidak pecah. Tiada kuman yang hidup di dalam kantungnya yang memberi perlindungan semulajadi kepada janin. Tidak perlu antibiotik.

Hanya bila kantung bayi pecah dan air ketuban mengalir keluar, bayi akan terdedah kepada kuman GBS yang boleh merayau masuk. Walaupun ada pendedahan kepada GBS, kebanyakan bayi tidak akan mendapat penyakit GBS, hanya seorang dalam setiap 2000 bayi yang dilahirkan.

Tetapi jika bayi diserang penyakit GBS, itu lah yang paling menakutkan. Di tahun 1970-an, kalau bayi dijangkiti penyakit GBS, seramai 55% meninggal dunia. Ini boleh dielakkan dengan memberi antibiotik bila air ketuban pecah sebelum bersalin, dan kepada bayi selepas bersalin. 

Zaman sekarang, walaupun kita menjaga ibu dan bayi dengan lebih rapi, seramai 5-10% bayi yang mendapat jangkitan penyakit GBS meninggal dunia, begitu kuat serangannya ke atas bayi yang baru lahir. 

Kematian bayi sudah dikurangkan sebanyak 80% di zaman sekarang tapi masih ada yang terlepas. Tahun lepas, air mata saya menitis bila beberapa bayi yang baru lahir meninggal dunia akibat jangkitan kuman GBS yang teruk.

Siapakah ibu yang perlu mengambil antibiotik semasa bersalin?

Inilah kuman yang paling handal sekali ghaib dan susah dikesan bila doktor buat swab test di dalam faraj dan dubur. Setiap kali membuat swab test dari faraj, hanya 22% ibu yang diharungi kuman GBS akan dikesan. 

Yang lain tu ramai yang 'false negative', bermakna, walaupun swab test itu tidak mengesan kuman GBS, ada kemungkinan yang tinggi bahawa kuman GBS ada di situ. Bila dibuat swab test dari faraj dan dubur sekali, hanya 27% dapat dikesan.

Ada setengah pakar (ikut style Amerika) yang mengesyorkan semua ibu hamil mengambil swab test faraj dan dubur pada minggu ke 35. Bila dikesan, ibu akan digalakkan menerima antibiotik semasa dekat bersalin (terutama sekali selepas pecah air ketuban)

Ada setengah pakar (Ikut style England) yang tidak membuat swab test kecuali untuk ibu yang melaporkan ada keputihan yang tidak normal, atau pecah air ketuban sebelum mulanya contraction (rahim mengeras).

Mereka berdebat tak habis lagi, dan masih mencari-cari ujian yang terbaik untuk mengesan kuman GBS ni, kerana ibu-ibu tidak sakit apa-apa pun.

Yang penting sekali, antibiotic patut diberi selepas air ketuban pecah sebelum bersalin kepada ibu-ibu yang mengalami 5 perkara di bawah, sebab ini membawa risiko yang lebih tinggi kepada bayi yang baru lahir:

1. Pernah melahirkan bayi yang diserang penyakit GBS

2. Kuman GBS di dalam air kencing. Satu course antibiotic diberi semasa masih hamil lagi untuk membasmi kuman ini dari air kencing supaya mengelakkan jangkitan kuman ke buah pinggang. Kemudian antibiotics diberi lagi semasa bersalin. 

3. Demam semasa bersalin

4. Pecah air ketuban di peringkat pramatang (sebelum 37 minggu). Antibiotics diberi semasa hamil untuk 10 hari (untuk megelakkan jangkitan kuman-kuman lain, bukan hanya untuk GBS) dan kemudian diberi lagi semasa bersalin.

5. Pecah air ketuban lebih daripada 18 jam untuk janin yang matang (selepas 37 minggu).

Jadi walaupun swab test itu normal, jika terdapat 5 perkara di atas, ibu-ibu digalakkan menerima antibiotik. Keputusan swab test yang normal tidak boleh dipercayai sangat.

Kita tunggu lagi keputusan kajian yang masih dijalankan. Mungkin pendapat saya akan berubah bila kita memperolehi keputusan kajian yang lebih mendalam dan lebih lengkap. Ini lah kita panggil "Evidence-based-Medicine". Maksudnya, kami hanya bertindak jika tindakan itu telah terbukti berkesan untuk kesihatan kedua-dua ibu dan bayi.

Apa-apa keraguan, sila lah berbincang dengan pakar atau doktor dan jururawat yang berpengalaman. Mungkin pendapat mereka bercanggah sama ada anda patut buat test GBS ke tidak, tetapi semua bersependapat siapa yang memerlukan antibiotik di bilik bersalin. Saya harap ibu-ibu tak keliru lagi.


Sumber : FB Imelda Balchin 

Cari Artikel